Friday, 4 May 2012

~ Situasi 40 ~

Hari ini merupakan situasi terakhir yang akan saya kongsikan bersama. Situasi ini berlaku semasa saya mahu pergi memulangkan buku yang dipinjam di perpustakaan. Semasa saya hampir sampai di perpustakaan, tiba-tiba saya terlihat satu kejadian iaitu di mana dua orang pelajar sedang rancak berbual di laluan kereta. Mereka berbual dan berdiri di tengah-tengah laluan jalan. Tiba-tiba, ada sebuah kereta menghampiri mereka. Kereta itu terpaksa berhenti kerana menunggu mereka bergerak daripada laluan tersebut. Mereka terkejut apabila kereta tersebut sudah berada di belakang mereka, dan mereka telah berundur ke tepi jalan. Selepas kereta itu beredar, dua orang pelajar tersebut memarahi pemandu kereta berkenaan dengan berkata “eleh,macam bagus sangat. Mentang-mentang ada kereta, ingat boleh la ko bawak laju-laju. Eii geram betol aku dengan orang macam ni...dan bla, bla,bla....”

Pada pandangan saya, kereta tersebut tidak bersalah kerana mereka yang berada di tengah-tengah jalan. Pemandu kereta berkenanaan juga berhenti menunggu mereka beredar daripada jalan tersebut tanpa membunyikan hon pun. Saya tidak tahu apakah punca yang menyebabkan mereka memarahi pemandu tersebut, tetapi mungkin mereka terasa hati apabila mereka beredar ke tepi jalan, kereta tersebut telah memecut agak laju keretanya. Kita tidak seharusnya prejudis terhadap seseorang, jika kita yang salah,kita patut mengakuinya, bukan sebaliknya kita menyalahkan orang lain pula. 

Wednesday, 2 May 2012

~ Situasi 39 ~

Hari ini saya bersiar-siar dengan sahabat lama saya. Dia mengajak saya keluar bersiar-siar dengan menaiki motor. Kami pergi ke pekan Tanjung Malim tetapi semasa dalam perjalanan, tiba-tiba sebuah motor dari arah belakang cuba memotong kami dengan laju. Saya melihat motor tersebut ingin berseiringan dengan kami, saya sangat pelik kenapa lelaki tersebut tiba-tiba ingin berseiringan dengan kami, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila mendapati lelaki tersebut adalah seorang yang gila seks. Dia telah menunjukkan kemaluannya tanpa segan silu di hadapan kami. Ya Allah hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terkejutnya saya pada waktu itu. Lelaki tersebut warga Cina berusia dalam lingkungan 40an kalau tidak silap dan merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pada pendapat saya, tidak sepatutnya lelaki tersebut berkelakuan tidak senonoh seperti itu, tambahan pula dia seorang OKU. Dia telah menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap OKU lain dengan . Sikapnya itu, jelas menyalahi undang-undang kerana gangguan seksual dan boleh diambil tindakan jika terdapat bukti yang kukuh.

Tuesday, 1 May 2012

~ Situasi 38 ~

Semalam, saya sedang menunggu kawan aku di bawah blok KHAR sambil menonton televisyen. Kemudian saya terlihat satu iklan. Dalam iklan tersebut , terdapat seorang lelaki yang sedang tekun membuat kerjanya sehingga mengabaikan telefon pejabat yang berada di hadapannya sehinggakan pekerja lain datang menjawab panggilan tetefon tersebut.

Pada pendapat saya, walaupun lelaki tersebut sibuk dengan kerja tetapi panggilan telefon haruslah diangkat kerana ia adalah salah satu tanggungjawab dalam pekerjaan lelaki tersebut. Panggilan tersebut dibuat kerana berkemungkinan pemanggil mempunyai perkara penting yang hendak dibincangkan. Selain itu, panggilan telefon tersebut juga akan mengganggu ketenteraman pekerja lain jika dibiarkan lama.

Monday, 30 April 2012

~ Situasi 37 ~


Situasi pada kali ini ialah tentang perancangan bahasa. Perancanan taraf bahasa meliputi semua upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama pendidikan, iaitu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas tadi. Setelah mantap penetapan taraf tersebut, maka upaya ditumpukan pula pada aspek perancangan korpusnya pula. Dalam perancangan korpus bahasa Melayu, usaha dilaksanakan dalam dua strategi pula, iaitu pembinaan dan pengembangan bahasa.

Pembinaan bahasa merujuk kepada usaha melengkapkan bahasa Melayu daripada sudut korpus bahasanya, iaitu kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa untuk memungkinkan bahasa itu dapat memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks pembangunan bangsa dan negara. Pengembangan bahasa pula berkaitan dengan usaha memasyarakatkan bahasa yang dibina korpusnya itu kepada para penggunanya dalam sektor perkhidmatan awam, sektor pendidikan, sektor swasta dan sektor antarabangsa.

Dalam konteks Malaysia, perancangan taraf bahasa melibatkan upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Penetapan bahasa Melayu sebagai asas perancangan bahasa di Malaysia didasarkan pada penerimaan kenyataan bahawa bahasa Melayu merupakan tonggak tamadun di alam Melayu sejak zaman Sriwijaya lagi dan kemudian pada zaman kesultanan Melayu di pelbagai pusat tamadun Melayu di rantau Asia Tenggara.

Friday, 27 April 2012

~ Situasi 36 ~


Kejadian ini juga berlaku dalam sebuah kelas. Ketika pensyarah sedang memberikan kuliah, saya mendapati kelas agak tidak terkawal. Pelajar membuat bising di sana sini. Walaupun begitu, keadaan tersebut hanyalah untuk seketika. Apabila kelas kembali tenang, saya terdengar suara seseorang di kedudukan belakang yang masih lagi dalam keadaan bercakap. Suara tersebut kedengaran jelas di telinga saya dan apabila saya menoleh saya terlihat akan seorang sahabat yang sedang bercakap di telefon. Saya agak terkejut kerana tanpa rasa bersalah dia bercakap di telefon sedangkan ketika itu pensyarah sedang memberikan kuliah. Kedudukan saya di hadapan sekali dan ketika itu pensyarah berada di hadapan saya. Saya percaya pensyarah tersebut sedar akan situasi pelajar tadi.

Saya amat terkilan dengan tindakan pelajar tadi kerana dia merupakan teman dalam jurusan yang sama dengan saya. Saya berpendapat bahawa tindakan tersebut amat tidak sopan. Dengan berkelakuan seperti itu, dia seakan-akan tidak menghormati pensyarah yang sedang mengajar dan sekali gus tidak menghargai ilmu yang disampaikan.

Thursday, 26 April 2012

~ Situasi 35 ~


Selepas turun dari bas di hadapan kampus saya sempat melihat seorang pelajar perempuan yang baru menaiki bas tersebut dimarahi oleh pemandu bas yang mungkin sudah berusia 40-an kerana membawa minuman masuk ke dalam basnya. Sememang kami semua sedia maklum akan sikap pemandu bas tersebut yang sudah banyak kali menghalau pelajar turun sekirannya membawa minuman ke dalam basnya. Pelajar tersebut kemudianya membuang minuman tersebut dan pastinya sangat malu apabila dimarahi dikhalayak ramai begitu.

Pada pandangan saya pemandu bas tersebut tidak sepatutnya memarahi pelajar yang sudah dewasa sebegitu kasar dikhalayak ramai. Walaupun pelajar tersebut melakukan kesalahan yang mungkin tanpa dia sedari kerana membawa air minuman bersama tidak menjadi kesalahan bagi pemandu bas lain. Pemandu bas itu mungkin boleh menegur pelajar dengan cara yang lebih berhemah bagi menjaga air muka sendiri dan orang yang ditegur. Sikapnya yang suka memarahi penumpang menyebabkan dia tidak berapa digemari oleh para pelajar yang menganggap beliau terlalu garang dan pemarah ditambah dengan raut wajahnya yang tidak pernah tersenyum. Malahan saya mengganggap hidupnya pasti amat membosankan sebagai pemandu bas memandangkan dia tidak gembira dan mungkin tidak ikhlas dalam pekerjaan yang dilakukannya itu.

Wednesday, 25 April 2012

~ Situasi 34 ~


Baru-baru ini kawan saya ada meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada saya berkaitan rakan sebiliknya. Rakan sebiliknya suka ‘bergayut’ dari tengah malam hingga ke pagi sambil ketawa dengan kuat. Hal ini menyebabkan kawan saya tidak dapat tidur dengan lena. Kadang-kadang dia hanya dapat tidur 3 hingga 4 jam saja. Dia serba salah ingin menegur rakan sebiliknya disebabkan kami satu program yang sama.

Berbual di telefon tidak salah. Tetapi perkara ini menjadi salah jika mengganggu rakan sebilik. Apa salahnya jika bersembang di luar bilik atau sewaktu ketiadaan rakan sebilik.