Friday, 27 April 2012

~ Situasi 36 ~


Kejadian ini juga berlaku dalam sebuah kelas. Ketika pensyarah sedang memberikan kuliah, saya mendapati kelas agak tidak terkawal. Pelajar membuat bising di sana sini. Walaupun begitu, keadaan tersebut hanyalah untuk seketika. Apabila kelas kembali tenang, saya terdengar suara seseorang di kedudukan belakang yang masih lagi dalam keadaan bercakap. Suara tersebut kedengaran jelas di telinga saya dan apabila saya menoleh saya terlihat akan seorang sahabat yang sedang bercakap di telefon. Saya agak terkejut kerana tanpa rasa bersalah dia bercakap di telefon sedangkan ketika itu pensyarah sedang memberikan kuliah. Kedudukan saya di hadapan sekali dan ketika itu pensyarah berada di hadapan saya. Saya percaya pensyarah tersebut sedar akan situasi pelajar tadi.

Saya amat terkilan dengan tindakan pelajar tadi kerana dia merupakan teman dalam jurusan yang sama dengan saya. Saya berpendapat bahawa tindakan tersebut amat tidak sopan. Dengan berkelakuan seperti itu, dia seakan-akan tidak menghormati pensyarah yang sedang mengajar dan sekali gus tidak menghargai ilmu yang disampaikan.

No comments:

Post a Comment