Situasi ini ketika yang dalam kekalutan
mencari dompet di dalam beg. Tiba-tiba ada seorang lelaki menyergah saya dari
belakang dengan berkata saya “Tepilah sikit!”. Pada raut wajahnya tergambar
perasaan tidak puas hati. “Orang nak cepat ni, dia pulak berdiri kat sini!”. Dengan
pantas, saya mengalihkan kedudukanku agar tidak menghalang laluannya. Saya telah
meminta maaf kerana tidak sengaja, tetapi lelaki itu melangkah pergi sambil menjeling
tajam kepada saya. Saya memandang lelaki tersebut dengan perasaan yang terkejut kerana sikapnya
yang tidak bertimbang rasa. Pedih hati telah menguasai diri saya bercampur
dengan geram. saya mengakui kesalahan saya yang berdiri di tengah-tengah laluan
orang ramai di kaki lima kawasan rumah kedai itu. Sememangnya menjadi satu
gangguan buat orang ramai. Namun, apakah tidak ada sekelumit pun nilai budi
bahasa dalam diri lelaki tersebut. Adakah menjadi satu bebanan baginya sekiranya
dia menegur kesilapan saya dengan lebih berhemah?
Pada pendapat saya, kita perlulah
menggunakan kata-kata yang baik dan bersopan dalam apa jua keadaan, meskipun
untuk menegur kesalahan dan kesilapan orang lain. Teguran yang disampaikan
dengan kata-kata yang baik dan sopan lebih mudah untuk diterima oleh sesiapa
sahaja. Apabila kita menggunakan kata-kata yang baik, tiada hati yang akan
terguris, tiada perasaan yang tersinggung dan kita akan lebih dihormati oleh
orang-orang di sekeliling kita. Perkataan yang kita luahkan dan ucapkan mampu memberi
gambaran keperibadian kita yang sebenarnya. Berhati-hatilah dengan kata-kata
yang kita gunakan sehari-hari kerana mungkin tanpa kita sedari, dengan
kata-kata kita, ada hati yang terluka dan menjeruk rasa.