Friday, 30 March 2012

~ Situasi 20 ~


Situasi ini ketika yang dalam kekalutan mencari dompet di dalam beg. Tiba-tiba ada seorang lelaki menyergah saya dari belakang dengan berkata saya “Tepilah sikit!”. Pada raut wajahnya tergambar perasaan tidak puas hati. “Orang nak cepat ni, dia pulak berdiri kat sini!”. Dengan pantas, saya mengalihkan kedudukanku agar tidak menghalang laluannya. Saya telah meminta maaf kerana tidak sengaja, tetapi lelaki itu melangkah pergi sambil menjeling tajam kepada saya. Saya memandang lelaki tersebut  dengan perasaan yang terkejut kerana sikapnya yang tidak bertimbang rasa. Pedih hati telah menguasai diri saya bercampur dengan geram. saya mengakui kesalahan saya yang berdiri di tengah-tengah laluan orang ramai di kaki lima kawasan rumah kedai itu. Sememangnya menjadi satu gangguan buat orang ramai. Namun, apakah tidak ada sekelumit pun nilai budi bahasa dalam diri lelaki tersebut. Adakah menjadi satu bebanan baginya sekiranya dia menegur kesilapan saya dengan lebih berhemah?

Pada pendapat saya, kita perlulah menggunakan kata-kata yang baik dan bersopan dalam apa jua keadaan, meskipun untuk menegur kesalahan dan kesilapan orang lain. Teguran yang disampaikan dengan kata-kata yang baik dan sopan lebih mudah untuk diterima oleh sesiapa sahaja. Apabila kita menggunakan kata-kata yang baik, tiada hati yang akan terguris, tiada perasaan yang tersinggung dan kita akan lebih dihormati oleh orang-orang di sekeliling kita. Perkataan yang kita luahkan dan ucapkan mampu memberi gambaran keperibadian kita yang sebenarnya. Berhati-hatilah dengan kata-kata yang kita gunakan sehari-hari kerana mungkin tanpa kita sedari, dengan kata-kata kita, ada hati yang terluka dan menjeruk rasa.

No comments:

Post a Comment