Wednesday, 7 March 2012

Situasi 3

~ Kecha ??? ~

Situasi ini semasa saya dan kawan-kawan tengah berbual-bual tentang masakan dan bertukar resepi masakan antara satu sama lain. Satu info yang saya perolehi sepanjang perbualan kami adalah walaupun lauk yang sama tetapi teknik memasak dan bahan-bahan yang digunakan adalah berlainan bagi setiap individu itu. Semasa kami sedang berkongsi rahsia masakan masing-masing, tiba-tiba saya teringat lauk "masak lemak kecha" iaitu masakan yang menggunakan sejenis siput atau lebih dikenali dengan siput sedut.


Perkataan "kecha" itu berasal daripada dialek Kelantan. Perkataan ini menjadi isu yang menarik apabila seorang kawan saya yang turut berasal daripada Kelantan iaitu di daerah Rantau Panjang, terkejut apabila saya cakap "kecha" dijadikan lauk. Hal ini disebabkan oleh bagi kawan saya "kecha" itu bermaksud siput babi, dan tidak boleh dimakan.

Hal ini membuat saya bertambah terkejut apabila dia berkata sedemikian. Walaupun kami berasal daripada negeri yang sama negeri Kelantan, cuma berbeza daerah iaitu saya berasal dari daerah Tumpat,
manakala kawan saya dari daerah Rantau Panjang tetapi tetap ada juga perkataan yang mempunyai sebutan yang sama, tetapi berlainan makna. Saya mendapat satu rumusan iaitu walaupun kita sama negeri, tetapi tetap ada perbezaan makna bagi sesuatu istilah itu oleh penutur mengikut kawasan tertentu. Bukan sahaja setiap negeri yang berlainan mempunyai istilah makna yang berlainan, bahkan di dalam negeri itu sendiri turut mempunyai perbezaan dari segi makna mengikut daerah masing-masing.

No comments:

Post a Comment