Monday, 19 March 2012

Situasi 11

~ Budi Bahasa Budaya Kita ~

Situasi ini semasa saya dan kawan pergi ke Pekan Tanjung Malim. Kami pergi untuk membuat kunci pendua rumah sewa kawan saya yang telah rosak. Dalam perjalanan kami ke kedai yang boleh membuat pendua kunci tersebut, tiba-tiba terjadi satu kemalangan kecil. Ada seorang pak cik yang berketurunan Cina ingin mengeluarkan motornya daripada tempat meletak kenderaan. Oleh disebabkan jalan tersebut sempit dan kereta yang banyak lalu lalang, ditambah pula dengan sebuah motor yang sedia menunggu untuk mengambil giliran, pak cik tersebut menjadi kelam kabut.

Keadaan cuaca pada waktu itu pula hujan renyai-renyai. Semasa dia hendak memusingkan motornya, dia telah terlanggar dua buah basikal di situ sehingga terbalik. Kebetulan saya dan kawan saya melihat kejadian tersebut dan membantu pak cik itu. Saya dan kawan mengangkat basikal yang jatuh akibat dilanggar pak cik itu. Tetapi apa yang mengecewakan kami, pak cik itu membuat muka yang serius, langsung tidak melihat ke arah kami dan tidak mengucapkan sebarang terima kasih kepada kami kerana telah menolongnya. Bukannya kami mengharapkan ucapan penghargaan daripada pak cik tersebut, tetapi sebaliknya pak cik itu memasamkan mukanya kepada kami.Kami sendiri hairan dengan sikap dingin pak cik tersebut.

Pada pendapat saya, jika kita menerima pertolongan daripada orang lain, kita mestilah mengamalkan budi bahasa yang baik seperti mengucapkan terima kasih atau kita boleh sahaja memberi senyuman kepada mereka yang telah memberi pertolongan kepada kita. Senyuman tidak perlu menggunakan wang ringgit. Budi bahasa itu budaya kita. Amalkan senyum selalu. Senyum itu sedekah. 

No comments:

Post a Comment