Situasi ini ketika saya berada di dalam bas untuk pulang ke kolej kediaman.
Kawan saya telah memperkenalkan seorang junior yang berketurunan India kepada
saya. Apa yang menariknya tentang junior berketurunan India ini ialah, dia
sangat fasih dalam bertutur dialek Kelantan, sebab inilah kawan saya
memperkenalkan dia kepada saya. Menurut kawan saya, dia amat terkejut dengan junior
India ini pada mulanya kerana dia boleh
bertutur dialek kelantan dengan baik sekali. Apa yang lebih mengejutkan lagi pelajar
India ini mengambil kursus bahasa Inggeris (Tesl) yang bermakna dia boleh
menggunakan bahasa Inggeris dengan baik sama ada di rumah mahu pun pelajaran.
Saya cuba bercakap dan bertanya serba sedikit tentang diri pelajar India
tersebut dan ternyata memang dia sangat pandai bertutur dialek Kelantan. Saya
juga turut terkejut dan mengaguminya. Hal ini kerana, kebanyakkan orang India
mesti agak susah untuk bertutur dialek Kelantan dengan baik, mungkin disebabkan
pelat kerana sering menggunakan bahasa Tamil atau bahasa Inggeris untuk berkomunikasi
sesama ahli keluarga, tetapi pelajar India ini memberitahu saya bahawa mereka
sekeluarga memang menggunakan dialek Kelantan ketika bercakap dengan
adik-beradik dan mak ayah mereka.Pelajar ini berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat,
Kelantan.
Apa yang boleh saya rumuskan di sini, pengaruh dialek Kelantan terhadap
penduduknya terutamanya yang bukan Melayu, sama ada India mahu pun Cina amatlah
kuat. Hal ini disebabkan oleh persekitaran mereka dan jiran-jiran mereka
dikelilingi oleh masyarakat Melayu yang bertutur dalam dialek Kelantan. Mereka
terikut-ikut dengan cara pertuturan masyarakat di negeri Che Siti Wan Kembang
ini. Kehidupan mereka perlu suatu bahasa komunikasi yang dominan dan difahami
umum, jika mereka menggunakan bahasa yang berlainan, maka mereka akan tersisih
daripada masyarakat dan sukar untuk berkomunikasi dengan baik. Bilangan kaum
India dan Cina di Kelantan amat sedikit berbanding kaum Melayu juga merupakan
faktor mereka kurang bercakap dalam bahasa mereka sendiri dan lebih selesa
menggunakan dialek Kelantan.
No comments:
Post a Comment