Friday, 4 May 2012

~ Situasi 40 ~

Hari ini merupakan situasi terakhir yang akan saya kongsikan bersama. Situasi ini berlaku semasa saya mahu pergi memulangkan buku yang dipinjam di perpustakaan. Semasa saya hampir sampai di perpustakaan, tiba-tiba saya terlihat satu kejadian iaitu di mana dua orang pelajar sedang rancak berbual di laluan kereta. Mereka berbual dan berdiri di tengah-tengah laluan jalan. Tiba-tiba, ada sebuah kereta menghampiri mereka. Kereta itu terpaksa berhenti kerana menunggu mereka bergerak daripada laluan tersebut. Mereka terkejut apabila kereta tersebut sudah berada di belakang mereka, dan mereka telah berundur ke tepi jalan. Selepas kereta itu beredar, dua orang pelajar tersebut memarahi pemandu kereta berkenaan dengan berkata “eleh,macam bagus sangat. Mentang-mentang ada kereta, ingat boleh la ko bawak laju-laju. Eii geram betol aku dengan orang macam ni...dan bla, bla,bla....”

Pada pandangan saya, kereta tersebut tidak bersalah kerana mereka yang berada di tengah-tengah jalan. Pemandu kereta berkenanaan juga berhenti menunggu mereka beredar daripada jalan tersebut tanpa membunyikan hon pun. Saya tidak tahu apakah punca yang menyebabkan mereka memarahi pemandu tersebut, tetapi mungkin mereka terasa hati apabila mereka beredar ke tepi jalan, kereta tersebut telah memecut agak laju keretanya. Kita tidak seharusnya prejudis terhadap seseorang, jika kita yang salah,kita patut mengakuinya, bukan sebaliknya kita menyalahkan orang lain pula. 

Wednesday, 2 May 2012

~ Situasi 39 ~

Hari ini saya bersiar-siar dengan sahabat lama saya. Dia mengajak saya keluar bersiar-siar dengan menaiki motor. Kami pergi ke pekan Tanjung Malim tetapi semasa dalam perjalanan, tiba-tiba sebuah motor dari arah belakang cuba memotong kami dengan laju. Saya melihat motor tersebut ingin berseiringan dengan kami, saya sangat pelik kenapa lelaki tersebut tiba-tiba ingin berseiringan dengan kami, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila mendapati lelaki tersebut adalah seorang yang gila seks. Dia telah menunjukkan kemaluannya tanpa segan silu di hadapan kami. Ya Allah hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terkejutnya saya pada waktu itu. Lelaki tersebut warga Cina berusia dalam lingkungan 40an kalau tidak silap dan merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pada pendapat saya, tidak sepatutnya lelaki tersebut berkelakuan tidak senonoh seperti itu, tambahan pula dia seorang OKU. Dia telah menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap OKU lain dengan . Sikapnya itu, jelas menyalahi undang-undang kerana gangguan seksual dan boleh diambil tindakan jika terdapat bukti yang kukuh.

Tuesday, 1 May 2012

~ Situasi 38 ~

Semalam, saya sedang menunggu kawan aku di bawah blok KHAR sambil menonton televisyen. Kemudian saya terlihat satu iklan. Dalam iklan tersebut , terdapat seorang lelaki yang sedang tekun membuat kerjanya sehingga mengabaikan telefon pejabat yang berada di hadapannya sehinggakan pekerja lain datang menjawab panggilan tetefon tersebut.

Pada pendapat saya, walaupun lelaki tersebut sibuk dengan kerja tetapi panggilan telefon haruslah diangkat kerana ia adalah salah satu tanggungjawab dalam pekerjaan lelaki tersebut. Panggilan tersebut dibuat kerana berkemungkinan pemanggil mempunyai perkara penting yang hendak dibincangkan. Selain itu, panggilan telefon tersebut juga akan mengganggu ketenteraman pekerja lain jika dibiarkan lama.

Monday, 30 April 2012

~ Situasi 37 ~


Situasi pada kali ini ialah tentang perancangan bahasa. Perancanan taraf bahasa meliputi semua upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama pendidikan, iaitu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas tadi. Setelah mantap penetapan taraf tersebut, maka upaya ditumpukan pula pada aspek perancangan korpusnya pula. Dalam perancangan korpus bahasa Melayu, usaha dilaksanakan dalam dua strategi pula, iaitu pembinaan dan pengembangan bahasa.

Pembinaan bahasa merujuk kepada usaha melengkapkan bahasa Melayu daripada sudut korpus bahasanya, iaitu kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa untuk memungkinkan bahasa itu dapat memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks pembangunan bangsa dan negara. Pengembangan bahasa pula berkaitan dengan usaha memasyarakatkan bahasa yang dibina korpusnya itu kepada para penggunanya dalam sektor perkhidmatan awam, sektor pendidikan, sektor swasta dan sektor antarabangsa.

Dalam konteks Malaysia, perancangan taraf bahasa melibatkan upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Penetapan bahasa Melayu sebagai asas perancangan bahasa di Malaysia didasarkan pada penerimaan kenyataan bahawa bahasa Melayu merupakan tonggak tamadun di alam Melayu sejak zaman Sriwijaya lagi dan kemudian pada zaman kesultanan Melayu di pelbagai pusat tamadun Melayu di rantau Asia Tenggara.

Friday, 27 April 2012

~ Situasi 36 ~


Kejadian ini juga berlaku dalam sebuah kelas. Ketika pensyarah sedang memberikan kuliah, saya mendapati kelas agak tidak terkawal. Pelajar membuat bising di sana sini. Walaupun begitu, keadaan tersebut hanyalah untuk seketika. Apabila kelas kembali tenang, saya terdengar suara seseorang di kedudukan belakang yang masih lagi dalam keadaan bercakap. Suara tersebut kedengaran jelas di telinga saya dan apabila saya menoleh saya terlihat akan seorang sahabat yang sedang bercakap di telefon. Saya agak terkejut kerana tanpa rasa bersalah dia bercakap di telefon sedangkan ketika itu pensyarah sedang memberikan kuliah. Kedudukan saya di hadapan sekali dan ketika itu pensyarah berada di hadapan saya. Saya percaya pensyarah tersebut sedar akan situasi pelajar tadi.

Saya amat terkilan dengan tindakan pelajar tadi kerana dia merupakan teman dalam jurusan yang sama dengan saya. Saya berpendapat bahawa tindakan tersebut amat tidak sopan. Dengan berkelakuan seperti itu, dia seakan-akan tidak menghormati pensyarah yang sedang mengajar dan sekali gus tidak menghargai ilmu yang disampaikan.

Thursday, 26 April 2012

~ Situasi 35 ~


Selepas turun dari bas di hadapan kampus saya sempat melihat seorang pelajar perempuan yang baru menaiki bas tersebut dimarahi oleh pemandu bas yang mungkin sudah berusia 40-an kerana membawa minuman masuk ke dalam basnya. Sememang kami semua sedia maklum akan sikap pemandu bas tersebut yang sudah banyak kali menghalau pelajar turun sekirannya membawa minuman ke dalam basnya. Pelajar tersebut kemudianya membuang minuman tersebut dan pastinya sangat malu apabila dimarahi dikhalayak ramai begitu.

Pada pandangan saya pemandu bas tersebut tidak sepatutnya memarahi pelajar yang sudah dewasa sebegitu kasar dikhalayak ramai. Walaupun pelajar tersebut melakukan kesalahan yang mungkin tanpa dia sedari kerana membawa air minuman bersama tidak menjadi kesalahan bagi pemandu bas lain. Pemandu bas itu mungkin boleh menegur pelajar dengan cara yang lebih berhemah bagi menjaga air muka sendiri dan orang yang ditegur. Sikapnya yang suka memarahi penumpang menyebabkan dia tidak berapa digemari oleh para pelajar yang menganggap beliau terlalu garang dan pemarah ditambah dengan raut wajahnya yang tidak pernah tersenyum. Malahan saya mengganggap hidupnya pasti amat membosankan sebagai pemandu bas memandangkan dia tidak gembira dan mungkin tidak ikhlas dalam pekerjaan yang dilakukannya itu.

Wednesday, 25 April 2012

~ Situasi 34 ~


Baru-baru ini kawan saya ada meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada saya berkaitan rakan sebiliknya. Rakan sebiliknya suka ‘bergayut’ dari tengah malam hingga ke pagi sambil ketawa dengan kuat. Hal ini menyebabkan kawan saya tidak dapat tidur dengan lena. Kadang-kadang dia hanya dapat tidur 3 hingga 4 jam saja. Dia serba salah ingin menegur rakan sebiliknya disebabkan kami satu program yang sama.

Berbual di telefon tidak salah. Tetapi perkara ini menjadi salah jika mengganggu rakan sebilik. Apa salahnya jika bersembang di luar bilik atau sewaktu ketiadaan rakan sebilik.

Tuesday, 24 April 2012

~ Situasi 33 ~

Situasi  ini  ketika  kami  dikejutkan  dengan  satu  berita  yang  agak  menyedihkan yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), iaitu seorang pelajar perempuan UPSI telah meninggal dunia di bangunan BE Learning yang dipercayai jatuh dari bangunan tersebut. Berita tersebut agak menyayat hati kami dan rasa takut pun ada dalam diri. Punca pelajar tersebut jatuh dari bangunan tersebut masih dalam siasatan. Tetapi perkara yang mengecewakan kami adalah pelbagai spekulasi dan tanggapan yang telah dikeluarkan oleh orang ramai tentang kejadian tersebut seperti pelajar tersebut menghadapi tekanan perasaan, kena tolak, bunuh diri yang paling mengaibkan dan macam-macam lagi andaian yang dibuat. Gambar pelajar tersebut turut dipaparkan dalam laman sosial facebook dan blog. Perkara yang sebenar berlaku masih belum diketahui lagi tetapi orang ramai sudah pandai membuat andaian sendiri.

Pada pandangan saya, kita tidak sepatutnya membuat sebarang andaian sendiri yang kita tidak tahu punca sebenar sesuatu kejadian berlaku. Kita juga seharusnya menyiasat terlebih dahulu punca sebenar sesuatu kejadian yang berlaku sebelum membuat sebarang spekulasi. Tambahan pula, pelajar tersebut merupakan orang Melayu yang beragama Islam. Islam melarang dengan keras sekali umatnya membunuh diri yang dianggap haram dan berdosa besar.

Monday, 23 April 2012

~ Situasi 32 ~


Sewaktu ingin pulang ke kolej selepas tamatnya kelas pada waktu tengahari hari ini, berlaku kesesakan dan lambakan pelajar yang juga sedang menunggu bas untuk pulang ke rumah masing-masing. Waktu telah menunjukkan ke angka 12 tengahari, semua ingin bergegas pulang ke rumah masing-masing kerana kebiasaannya pada waktu kemuncak ini berlakulah masalah ketiadaan bas kerana semua terutamanya kaum lelaki mengejar masa untuk menunaikan solat Jumaat bagi yang beragama Islam. Tidak sampai sepuluh minit, bas tiba. Semua berebut-rebut untuk menaiki bas. Kadang-kadang saya rasakan seperti perebutan kuasa akan berlaku kerana tolak menolak, pijak-memijak kaki, tarik-menarik akan berlaku. Dalam kesesakan itu, tiba-tiba saya terdengar satu suara budak perempuan yang bunyinya seakan-akan begini “eh, bodohlaa…janganla main pijak-pijak, tolak- tolak. Nak balik sangat, rumah tu tak lari la. Bongok” saya terkedu. Lama- kelamaan selepas berlakunya tolak-tolak, akhirnya kami semua berjaya menaiki bas tersebut dan selamat sampai ke rumah masing- masing.

Bagi saya, sepatutnya kita sebagai seorang mahasiswa ataupun mahasiswi, tidak sepatutnya memaki hamun tanpa berfikir panjang kerana itu merupakan satu sikap yang negatif yang kita tunjukkan kepada orang lain. Tambahan pula kita sebagai bakal guru hendaklah menunjukkan sifat yang baik dan menjadi contoh yang baik juga kepada orang lain.


Friday, 20 April 2012

~ Situasi 31 ~


Situasi ini berlaku di sebuah kedai makan. Sekumpulan pelajar mereka makan samabil berbual. Tidak lama selepas itu kedengaran gelak ketawa mereka meletus. Sungguh kuat. Membuatkan orang terkejut dengan perbuatan mereka. Keadaan ini juga telah membuatkan orang lain berasa tidak selesa dan menjeling-jeling ke arah mereka.

Hendak bersembang, ketawa dan sebagainya itu boleh. Tetapi janganlah sampai keterlaluan sangat. Budaya ketimuran kita jangan dilupa.

Thursday, 19 April 2012

~ Situasi 30 ~


Rakan serumah saya telah menceritakan kepada saya tentang pengalamannya ketika berurusan di pejabat am fakulti bahasa ketika minggu tambah gugur kursus. Ketika dia sampai di kaunter, dia pun memanggil kerani di situ. "Akak, saya nak minta borang add drop satu". Kerani itu hanya menjeling dan memberikan borang tersebut kepada rakan saya. Rakan saya mengadu kepada saya mengapa kerani itu tidak mesra pelanggan dan langsung tidak mahu senyum ketika berurusan. Rakan saya berasa terkilan kerana dilayan sebegitu, sedangkan dia meminta dengan cara yang elok kepada kerani tersebut.

Pada pendapat saya, kerani tersebut tidak berasa selesa kerana jikalau kita berurusan di mana-mana kaunter pejabat am, penggunaan kata sapaan haruslah diutamakan. Rakan saya tadi telah menggunakan kata sapaan 'akak' kepada kerani itu dan mungkin kerani itu telah kurang selesa. Seharusnya, kata sapaan yang sesuai ialah Puan atau Encik kerana orang yang bekerja di pejabat am itu adalah antaranya pegawai dan kita seharusnya memberi gelaran atau sapaan yang sesuai dengannya. Rakan saya tidak menyedari kesilapannya dengan menggunakan kata sapaan yang tidak betul. Hal ini disebabkan oleh, sesetengah individu mahu dirinya dihormati dengan panggilan yang betul terutama daripada pelajar-pelajar yang berpendidikan tinggi.

~ Situasi 29 ~


Kelas saya tamat jam 10.00 pagi. Satu masa yang masih awal. Saya menuju ke perpustakaan untuk mencari bahan buat tugasanku. Sekitar jam 11.30, saya keluar daripada perpustakaan dan menuju ke sebuah kedai makan untuk membeli makan tengahari. Kedai yang selalu saya dan rakan-rakan kunjung. Selesai mengambil lauk, saya pun ke kaunter untuk membayar. Kami perlu beratur kerana ramai orang di kedai itu. Sedang tuan kedai mengira, salah seorang daripada pelanggannya bertanya, tentang harga makanan dengan makanan yang dibeli. Rupa-rupanya tuan kedai itu tersalah kira dan pelanggan itu memarahi tuan kedai tersebut di hadapan pelanggan lain. Saya hanya memerhatikannya.

Setiap manusia melakukan kesilapan. Seharusnya setiap kesilapan itu dimaafkan. Bukannya dimarahi atau dicaci. Dalam situasi ini, pelanggan itu sepatutnya memaafkan sahaja tuan kedai tersebut kerana dia sudah pun meminta maaf dan tidak perlu memanjangkan cerita terutamanya di hadapan pelanggan lain. Setiap  manusia punya maruah. Maruah manusia hendaklah dijaga oleh manusia dengan sebaiknya. Jika kita menjaga aib orang, insyaAllah orang lain juga akan menjaga aib kita.

Wednesday, 18 April 2012

~ Situasi 28 ~


Di kawasan lampu isyarat, kenderaan beratur untuk menuju ke destinasi masing-masing. Ketika itu saya berada di dalam bas. Pemandu bas sabar menanti lampu merah bertukar hijau. Saya memandang kenderaan yang lalu-lalang di hadapan saya. Tiba-tiba satu hon panjang berbunyi diikuti dengan bunyi brek yang sangat kuat. Bunyi itu datangnya dari sebuah lori yang hampir-hampir melanggar seorang penunggang motosikal. Penunggang motosikal itu tiba-tiba datang dan membelok di hadapan lori membuatkan pemandu lori panik. Ketar lutut saya mendengar bunyi itu.

Seharusnya dalam kesibukan banyak kenderaan itu, penunggang motosikal tersebut tidak boleh melakukan perkara seperti itu kerana membahayakan bukan sahaja nyawanya malahan juga nyawa orang ramai. Jika sudah terlewat sekalipun, berhati-hati di jalan raya itu sangat penting.

Tuesday, 17 April 2012

~ Situasi 27 ~


Perut kami berkeroncong. Kami membuat keputusan utuk singgah makan di kedai makan yang berdekatan. Setelah urusan memesan makanan dan minuman selesai, kami berborak sakan tentang pelbagai perkara yang berlaku sepanjang hari itu. Tidak menunggu lama, makanan dan minuman yang dipesan sampai. Kami membaca doa dan menikmati hidangan masing-masing. Sedang enak menjamu selera, tiba-tiba telinga kami seolah-olah dapat mengesan sesuatu yang tidak enak untuk didengari. Bunyinya seolah-olah begini “buat apa aku nak cakap dengan kau dalam telefon. Buat habis kredit je. Aku nak jumpa dengan kau. Kau kat mana sekarang, kau bagitahu aku. Weiii, aku tak takut la dengan kau tu. Aku nak jumpa dengan kau depan-depan suami dan mak mentua kau sekali pun aku tak takut. Cakap dengan aku, kau sekarang kat mana.” Saat itu, kami semua telan air liur. Masing- masing diam tidak berani untuk bersuara. Selesai makan, kami membuat bayaran dan beredar dari kedai makan itu dengan segera.

Situasi seperti ini sangat kerap berlaku, dimana-mana sahaja, tidak mengira masa semuanya boleh berlaku. Bagi pendapat saya, sepatutnya, wanita tersebut menyelesaikan masalahnya dengan berhemah, bukannya dengan memaki hamun orang lain dengan sesuka hati sahaja. Walaupun tidak tahu siapa yang betul dan siapa yang salah, kita tidak sepatutnya menghukum orang lain tanpa usul periksa. Lagipun, carilah tempat yang sesuai, janganlah jadikan tempat awam sebagai tempat untuk dijadikan medan perang. Pada waktu itu, semua orang pasti akan memandang serong kepada kita.


Monday, 16 April 2012

~ Situasi 26 ~


Situasi ini berlaku semasa saya sedang melayari laman sosial facebook atau laman muka buku. Saya telah terbaca status salah seorang daripada sahabat yang tidak dikenali dalam laman sosial saya. Dia meluahkan rasa marah terhadap seseorang yang telah merampas kekasihnya dengan menyumpah dan memaki wanita tersebut menggunakan kata-kata yang sangat kesat. Perkataan yang digunakan sangat mengaibkan semua kaum wanita dengan menyebut kemaluan dan sebagainya. oleh hal yang demikian saya terpaksa membuang dia daripada menjadi sahabat saya kerana tidak sanggup melihat apa yang ditulis pada statusnya dan dibaca umum pada dinding laman muka buku saya pula yang boleh mengaibkan wanita-wanita lain.

Pada pandangan saya, situasi seperti ini seharusnya dielakkan. Laman muka buku bukanlah medan yang sesuai untuk seseorang itu menzahirkan segala isi hatinya. Seharusnya, apabila seseorang itu berasa kecewa, sedih, marah dan sebagainya dia haruslah sentiasa mengingati Allah dan memohon petunjuk daripada-NYA. Selain itu, penggunaan bahasa yang kesat sudah mampu untuk melambangkan  atau menggambarkan sikap  sebenar individu tersebut daripada  kaca mata sesiapa yang membaca status terkenaan. 

Friday, 6 April 2012

~ Situasi 25 ~


Hari ini saya berasa kurang selesa dengan kata-kata kawan saya, walaupun hanya dengan satu perkataan. Saya mengingatkan kawan saya untuk menjalankan tugas di rumah kerana setiap ahli rumah akan bertugas mengikut hari-hari tertentu. Kawan saya sepatutnya bertugas pada hari khamis, namun mungkin kerana dia terlupa dia tidak bertugas. Oleh itu, saya telah menegurnya pada pagi jumaat dengan menyuruhnya bertugas pada hari tersebut. Saya berharap agar dia mengatakan bahawa dia terlupa dan meminta maaf. Namun dia hanya berkata "eleh". Perkataan itu amat menyakitkan hati. Saya tidak berniat untuk 'tunjuk baik' tetapi sekadar mengingatkan.

Sebagai rakan serumah, kita sepatutnya saling bekerjasama dan saling menjaga hati satu sama lain agar dapat hidup lebih selesa. "Maaf" bukan susah untuk diungkapkan, tetapi ramai yang keberatan untuk menyebutnya.

Thursday, 5 April 2012

~ Situasi 24 ~


Sewaktu saya sedang berjalan pulang bersama rakan, saya terdengar seorang pelajar perempuan Melayu menjerit ke arah rakannya yang sedang berlari untuk mengejar bas. "Hoi! janganlah laju sangat. tunggulah aku! ", jerit pelajar perempuan itu kepada rakannya. saya dan kawan saya terkejut. Kami saling berpandangan dan hanya menggelengkan kepala.

Pada pendapat saya, kejadian seperti situasi di atas telah menggambarkan kepada kita bahawa segelintir pelajar sekarang sudah tidak mementingkan kesantunan dalam berbahasa kerana bahasa jiwa bangsa. Kita seharusnya lebih berhati-hati ketika berkomunikasi waima dengan rakan kita sekalipun kerana orang sekeliling akan tetap memandang kita ketika kita berhampiran dengan mereka.

Wednesday, 4 April 2012

~ Situasi 23 ~


Kisah yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah tentang seorang pemandu bas yang berbangsa India. Saya tertarik dengan cara dia yang agak berbeza jika hendak dibandingkan dengan pemandu- pemandu bas yang lain. Kerap juga saya menaiki bas yang dipandu olehnya dan cara dia tetap sama.  Walaupun tidak banyak bercakap, namun dia bersikap sangat sopan. Selepas kami sampai ke destinasi yang dituju, pelajar- pelajar yang menaiki bas akan mengungkapkan  ucapan ‘terima kasih’ kepadanya, dan dia juga akan membalasnya dengan ungkapan ‘sama- sama’ sambil senyuman terukir di bibir. Hampir sebahagian besar pelajar di dalam bas mengucapkan ‘terima kasih’ kepadanya dan dia turut membalasnya kepada setiap pelajar.  Walaupun hanya ungkapan biasa tetapi sebenarnya merupakan budaya yang perlu kita amalkan setiap hari.

Secara peribadinya, saya kagum dengannya yang tidak jemu membalas ungkapan tersebut kepada kami sambil senyuman terukir manis dibibir. Ternyata sikap seperti itulah yang menyenangkan kami sebagai pelajar yang menggunakan bas untuk ke kelas.  Saya juga mengharapkan pemandu- pemandu bas yang lain juga bersikap seperti dirinya yang sentiasa tersenyum dan mesra terhadap pelajar- pelajar.

Tuesday, 3 April 2012

~ Situasi 22 ~


Situasi ini berlaku ketika para pelajar UPSI termasuk saya hendak menaiki bas."Nama sahaja pelajar-pelajar universiti, tapi langsung tidak tahu beradab". Begitulah ngomelan pemandu bas yang geram melihat para pelajar Upsi yang berebut-rebut untuk menaiki bas sambil membuat bising. Pemandu bas tersebut bukan sahaja mengomel malahan terus memandu dan memberhentikan kenderaannya dalam keadaan yang sangat dekat jaraknya dengan pelajar-pelajar yang berebut itu tadi sehinggakan pelajar-pelajar tadi terpaksa mengelak kerana bimbang dilanggar oleh pemandu bas tersebut.

Pada pandangan saya, situasi begini tidak mungkin akan berlaku sekiranya para pelajar ini mahu bertolak ansur iaitu dengan beratur untuk menaiki bas dan bukannya dengan berebut-rebut. Keadaan ini amat memalukan tambahan pula pelajar-pelajar ini adalah bakal-bakal guru. Bagaimana mahu menunjukkan contoh yang baik sekiranya diri sendiri juga masih tidak betul? Walaupun begitu, saya juga tidak bersetuju dengan sikap pemandu bas yang sanggup melampiaskan kemarahannya dengan terus memandu seolah-olah mahu melanggar pelajar-pelajar itu tadi. Keadaan ini disebabkan oleh, jika tidak kena dengan caranya, mungkin akan ada pelajar yang akan tercedera. Kekurangan bas dan kesuntukan masa menyebabkan pelajar-pelajar ini terpaksa berebut-rebut untuk ke destinasi yang seterusnya.

Monday, 2 April 2012

Situasi 21

~ Maksud Perkataan ~

1)         Bidalan
Menurut Abdullah Yusof et all (2009), bidalan ialah peribahasa yang terdiri daripada ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, bidalan juga menyatakan makna dua lapis. contoh bidalan ialah:

Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahit- kerja yang dimulakanhendaklah diselesaikan.

Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh- Jangan berasa diri bijak tetapi dihinaorang, biar bodoh asal bertanya, pasti akan berjaya.

Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga-  Kalau tidak mahir dalam sesuatu bidang itu, akibatnya buruk.


2)         Pepatah-petitih
pepatah merupakan salah satu daripada jenis peribahasa. pepatah dilihat seakan-akan sama dengan bidlaan. sungguhpun demikian, pepatah mempunyai sifat rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran. setiap rangkai kata pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu eolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan atau perkataan. pepatah ini biasanya berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. sungguhpun demikian, pepatah juga boleh didefinisikan sebagai ungkapan-ungkapan yang dibentuk berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. tujuannya adala untuk mengajar dan mendidik supaya berhati-hati dan berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. contoh pepatah adalah seperti berikut;

"Dihentak -hentak tak masuk , dihumpil tak bergerak , direndam tak basah , direbus tak lembik ,dijemur tak lekang dan dibakar tak hangus "


3)         Kata-kata pujangga
"Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan"
~Pujangga
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat"
-Khalifah Abdul Malik bin Marwan
"Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya."
~Pujangga~
"Manusia tak akan tahu semua perkara, justeru tahu banyak perkara lebih baik dari tidak suka mengambil tahu walaupun satu perkara."


4)         Hadis Melayu

AL-SUNAH dari segi bahasa bermaksud perjalanan, amalan, metod atau cara hidup. Ia juga bermaksud membuka atau merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk. Al-Sunah dari segi istilah ahli-ahli hadis ialah apa-apa yang terbit daripada Nabi Muhamad s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat, kejadian, akhlak dan sejarah sama ada sebelum diutuskan menjadi Rasul atau selepas diutuskan menjadi Rasul. Malangnya masyarakat Melayu sering disogokkan dengan perkataan atau ungkapan yang didakwa sebagai hadis sedangkan ia tidak mempunyai hujah yang kukuh. Ini dilabel sebagai ‘hadis Melayu’. Yang membimbangkan, ‘hadis Melayu’ ini seolah-olah diterima pakai dan menjadi pegangan agama oleh sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia.  ‘Hadis Melayu’ adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama ataupun banyak merujuk kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal bahasa Arabnya.

 Ada beberapa contoh ‘hadis Melayu’ seperti melarang anak-anak kecil yang belum baligh berada dalam saf yang sama dengan orang dewasa semasa bersolat. Alasannya kerana kanak-kanak itu masih najis kerana masih belum berkhatan. Ini bermakna takrifan najis itu amat berat sedangkan dalam Islam, kanak-kanak walaupun belum berkhatan adalah bersih jika pakaiannya bersih kecualilah jika kanak-kanak itu kencing atau buang air besar. Dari segi bahasa, najis ialah sesuatu yang kotor dan mengikut syarak, najis ialah kekotoran yang menegah daripada sahnya ibadat.

5)         Perbilangan
Menurut Aripin Said (1996), perbilangan adat adalah sebagai gundalan adat, iaituikatan puisiyang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembagakhususnya terdapat dalam kalangan mereka yang memakaiAdat Pepatih. Contoh perbilangan

Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat adat, tak gaduhkan hukum
Kuat hukum, tak gaduhkan adat
Ikut hukum, muafakatIkut adat muafakat


6)         Gurindam
Gurindam ialah sejenis puisi tradisonal yang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji pada tahun 1846. Bentuk gurindam boleh dibahagikan kepada dua,iaitu bentuk terikat dan tidak terikat. Bentuk yang terikat bukan sahaja terdiri daripada dua baris serangkap yang berpasangan dan berirama, tetapi bentuk seuntai gurindam yang terikat memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkannya sebagai satu keseluruhan idea. Baris pertama sebagai syarat dan baris kedua sebagai jawapan. Gurindam berfungsi sebagai hiburan, pengajaran, nasihat dan penerapan nilai-nilai murni, iaitu dapat menunjukkan hidup yang baik dan sempurna (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005), contoh:


Apabila terpelihara mata,
Sedikit cita-cita.
    
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.

Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat faedah.


(Raja Ali Haji, Puisi Melayu Tradisional, 1997. Dewan Bahasa Dan Pustaka)

 7)         Seloka
Seloka ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang berbentuk karangan berangkap yang mengandungi unsur ejekan, giatan, sindiran, jenaka atau gurau senda dan digunakan untuk menyindir sambil mengajar (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005). Contoh seloka ialah:



Buah pinang buah belimbing,
Ketiga dengan si buah mangga,
Sungguh senang berbini sumbing,
Walau marah ketawa juga.

(Warisan puisi Melayu, 1995)

8)         Tamsil
Tamsil adalah misalan yang berkias serta mengandungi pengajaran dan teladan.
Contoh: Bawa resmi padi, makin berisi makin menunduk.

9)         Peribahasa
Menurut Rubiah Aksah (2005), peribahasa merupakan suatu kiasan atau bunga bahasa dalam kata-kata yang mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tertentu dan maksud yang dibawa itu berlainan daripada maksud asalnya. Contohnya “kalau takut dilambung ombak,jangan berumah di tepi pantai”. Peribahasa ini mengandungi kata-kata sindiran yang bermaksud untuk memberi peransang kepada orang-orang yang lemah, tetapi ingin mengerjakan sesuatu pekerjaan yang merbahaya.


10)       Simpulan bahasa

Simpulan bahasa adalah bentuk peribahasa yang paling mudah. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat. Senarai simpulan bahasa beserta dengan maksudnya adalah seperti yang berikut:

Alih Muka = Beralih Muka
Maksud: Menyamar.
Contoh Ayat: Dia beralih muka ketika menghadiri majlis itu supaya tidak dikenali.

Alim Kucing
Maksud: Pura-pura baik.
Contoh Ayat: Si Dayan alim kucing di hadapan orang kampung sedangkan dialah yang menjadi dalang dalam kes-kes kecurian di kampungnya


11)       Ibarat
Kiasan ibarat mengunakan bahasa yang indah dan berbunga-bunga.

Terdapat dalam bentuk prosa dan puisi.Contoh kias ibarat:

     Segala penat lelahnya sudah membuahkan hasil.


12)       Perumpamaan
Perumpamaan ialah kata-kata yang membawa makna tersurat dan tersirat. Perumpamaan merupakan sejenis peribahasa yang berfungsi untuk membandingkan sesuatu dengan perkara yang berada di sekeliling kita. Perumpamaan boleh dibezakan dengan peribahasa dengan menggunakan perkataan bagai, laksana, seperti, umpama, bak dan sebagainya sebagai kunci permulaan. Menurut Abdullah Yusof et al (2009), perumpamaan ialah peribahasa yang mempunyai makna dua lapis. Peribahasa yang seperti ini menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu perkara yang sebanding dengannya. Perumpamaan adakalanya juga disebut sebagai bahasa kiasan atau kias ibarat, contohnya perumpamaan “umpama bunga yang harum itu, ada juga durinya” yang bermaksud orang yang ternama atau mulia itu, ada juga yang melakukan perbuatan hina atau keji.


Friday, 30 March 2012

~ Situasi 20 ~


Situasi ini ketika yang dalam kekalutan mencari dompet di dalam beg. Tiba-tiba ada seorang lelaki menyergah saya dari belakang dengan berkata saya “Tepilah sikit!”. Pada raut wajahnya tergambar perasaan tidak puas hati. “Orang nak cepat ni, dia pulak berdiri kat sini!”. Dengan pantas, saya mengalihkan kedudukanku agar tidak menghalang laluannya. Saya telah meminta maaf kerana tidak sengaja, tetapi lelaki itu melangkah pergi sambil menjeling tajam kepada saya. Saya memandang lelaki tersebut  dengan perasaan yang terkejut kerana sikapnya yang tidak bertimbang rasa. Pedih hati telah menguasai diri saya bercampur dengan geram. saya mengakui kesalahan saya yang berdiri di tengah-tengah laluan orang ramai di kaki lima kawasan rumah kedai itu. Sememangnya menjadi satu gangguan buat orang ramai. Namun, apakah tidak ada sekelumit pun nilai budi bahasa dalam diri lelaki tersebut. Adakah menjadi satu bebanan baginya sekiranya dia menegur kesilapan saya dengan lebih berhemah?

Pada pendapat saya, kita perlulah menggunakan kata-kata yang baik dan bersopan dalam apa jua keadaan, meskipun untuk menegur kesalahan dan kesilapan orang lain. Teguran yang disampaikan dengan kata-kata yang baik dan sopan lebih mudah untuk diterima oleh sesiapa sahaja. Apabila kita menggunakan kata-kata yang baik, tiada hati yang akan terguris, tiada perasaan yang tersinggung dan kita akan lebih dihormati oleh orang-orang di sekeliling kita. Perkataan yang kita luahkan dan ucapkan mampu memberi gambaran keperibadian kita yang sebenarnya. Berhati-hatilah dengan kata-kata yang kita gunakan sehari-hari kerana mungkin tanpa kita sedari, dengan kata-kata kita, ada hati yang terluka dan menjeruk rasa.

Thursday, 29 March 2012

~ Situasi 19 ~


Situasi ini ketika saya dan sahabat pergi ke pekan Tanjung Malim untuk membeli barang untuk keperluan rumah. Tiba-tiba kami  ternampak seorang remaja perempuan bertudung, tetapi apa yang membuat kami marah adalah remaja tersebut bertudung tetapi memakai t-shirt berlengan pendek sehingga menampakkan ketiaknya dan berseluar sendat.

Di dalam fikiran saya pada waktu itu adalah ‘inilah yang dikatakan berpakaian tetapi berbogel’. Kita seharusnya berpakaian  menutup aurat mengikut garis panduan yang terkandung dalam agama Islam. Remaja itu bertudung sudah baik tetapi alangkah baik sekiranya pakaian yang dipakai lebih labuh dan menutup aurat dengan sempurna. Gaya pemakaian remaja ini boleh menyebabkan masyarakat bangsa dan beragama lain memandang serong kepada agama Islam.

Wednesday, 28 March 2012

~ Situasi 18 ~


Situasi ini ialah ketika saya dan rakan-rakan berjalan-jalan di Kuala Lumpur untuk menghilangkan tekanan. Kami telah berkunjung ke sebuah pusat membeli belah terbesar di Kuala Lumpur. Di sana banyak gelagat orang bandar yang kami perhatikan. Antaranya, kami telah terlihat sepasang kekasih Melayu yang sama jantina ataupun ‘lesbian’. Mereka berjalan berpimpin tangan tanpa segan silu.

Saya berasa malu dan sedih apabila terkenangkan pasangan ‘lesbian’ itu adalah orang Melayu. Mungkin disebabkan aliran arus zaman mereka ini terdedah dengan pelbagai gejala sosial yang yang merosakkan akhlak anak muda di Bandar. Mereka seharusnya tahu bahawa hubungan sejenis itu dilaknat oleh Allah s.w.t. Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak dan memberi perhatian kepada aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Jangan hanya sibuk mengejar kemewahan dunia semata-mata tetapi anak-anak terjerumus ke dalam kancah yang tidak sihat.

Tuesday, 27 March 2012

~ Situasi 17 ~


Situasi ini adalah semasa sedang berehat di rumah. Saya mendengar radio bagi menghilangkan rasa bosan kerana tiada apa yang hendak dilakukan pada waktu itu. Siaran yang dipilih ialah Muzik FM. Apabila selesai lagu dimainkan, juruhebah radio tersebut mula berceloteh. "Saya amat sukakan lelaki yang memahami kehendak wanita." "Tetapi ada lagi ke jantan-jantan seperti ini ?" tambahnya .

Pada pendapat saya,juruhebah tersebut telah mengabaikan konsep kesantunan bahasa dalam masyarakat. Perkataan "jantan" hanya digunakan untuk menentukan jantina binatang, bukannya manusia. Perkataan tersebut juga menunjukkan bahasa yang kasar.

Monday, 26 March 2012

Situasi 16

~Kata Ganda dalam Dialek Kelantan vs Bahasa Melayu Standard~

Situasi pada kali ini yang ingin saya kongsikan kepada semua ialah berkenaan kata ganda dalam versi dialek Kelantan dan dibandingkan dengan bahasa Melayu Baku atau standard. Menurut Tatabahasa Dewan edisi ketiga, kata ganda ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses mengulangi kata dasar. Dalam bahasa Melayu, proses pengulangan ini sama ada melibatkan seluruh kata dasar yang disebut penggandaan penuh, atau melibatkan sebahagian kata dasar sahaja yang disebut penggandaan separa. Kata dasar juga boleh digandakan secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi.

Menerusi Dialek Kelantan, kata ganda yang banyak digunakan ialah kata ganda berentak iaitu, berdasarkan rentak bunyi. Contoh adalah seperti berikut:


Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
[Mãnih-lətiŋ]
Sangat manis
[Cwɔŋẽk-cakdwɔŋ]
Jongkang-jongket
[Gelak-glemãk]
Gelap-gelita
[Sinãr-banãr]
Sangat bersinar
[Bεlwɔk-blεka]
Bengkang-bengkok

Menerusi contoh di atas, terdapat kata ganda yang mempunyai ejaan,perkataan, serta sebutan yang sangat berlainan daripada bahasa Melayu yang biasa digunakan umum, tetapi mempunyai maksud yang sama. Terdapat juga kata ganda dalam dialek Kelantan yang sama dengan Bahasa Melayu Standard, tetapi cara penyebutannya agak berbeza sedikit. Penutur di sesuatu tempat yang berlainan menyatakan sesuatu perkara itu mengikut perkataan atau istilah yang difahami oleh penduduk setempat. Walaupun ia bertentangan dalam Bahasa Melayu Standard, namun ia tetap diguna pakai oleh penutur sesuatu tempat itu kerana mereka saling memahami antara satu sama lain dan istilah tersebut diterima pakai dalam kalangan mereka.

Friday, 23 March 2012

Situasi 15


~ HORMATI ORANG YANG LEBIH TUA ~

Situasi ini ketika dalam bas, sahabat saya menegur salah seorang junior kami untuk melabuhkan langsir kerana cuaca yang panas ketika itu. “Awak, minta tolong tarik langsir tu sikit.” Pinta sahabat saya. Yang mengejutkan kami, pelajar itu hanya menoleh ke belakang iaitu pada tempat duduk sahabat saya dan menjeling ke arahnya. Pelajar tersebut tidak mempedulikan permintaan sahabat saya itu. Selang beberapa minit, sahabat saya mengulangi permintaan yang sama. Namun pelajar itu tetap dengan pendiriannya dengan tidak menarik walau seinci kain langsir itu.

Pada pendapat saya, pelajar tersebut sememangnya tidak mempunyai adab apatah lagi sikap menghormati orang yang lebih senior. Pada kiraan saya, sahabat tadi menggunakan bahasa yang saya anggap paling sopan kerana dia  menggunakan perkataan "tolong". Pelajar tersebut perlu belajar cara untuk menghormati orang lain selain sedar akan pentingnya hidup dalam masyarakat. Kesopanan berbahasa amat penting terutama dalam hidup bermasyarakat kerana masyarakat lain akan menghormati dan menilai kita melalui bahasa yang sopan. Daripada amalan berbahasa, kita dapat mengenali seseorang itu. Jika baik bahasanya, maka baiklah budi pekertinya.

Thursday, 22 March 2012

Situasi 14

~ Jaga Tingkah laku Anda ~

Situasi ini di kedai makan ketika saya sedang menunggu makanan bungkus yang telah saya pesan. Situasi ini saya ambil apabila melibatkan sikap sesetengah masyarakat kita yang tidak menjaga ketenteraman orang lain ditempat awam. Kejadian ini melibatkan sekumpulan pelajar UPSI sendiri yang terdiri daripada tiga orang perempuan dan dua orang lelaki. Sepanjang saya berada di dalam kedai tersebut, saya dapat perhatikan mereka begitu ceria sehingga ketawa terbahak-bahak dalam nada yang sangat kuat tanpa mempedulikan jelingan-jelingan tajam dari orang sekeliling mereka.

Pada pendapat saya yang dapat diperhatikan sikap mereka yang mengganggu ketenteraman awam malahan lebih teruk lagi, kelakuan tersebut akan memberi imej buruk kepada diri mereka sendiri terutama tiga orang wanita tersebut. Mereka jelas mengabaikan nilai-nilai dan adap kesopanan Melayu sehingga menjatuhkan harga diri mereka sendiri. Tambahan pula, perbuatan tersebut juga akan membawa kesan buruk kepada orang lain apabila topik perbualan akan terarah kepada mereka yang boleh dikatakan sebagai mengumpat.

Wednesday, 21 March 2012

Situasi 13

~ Belajar Bahasa Jawa ~

Situasi ini semasa saya berada di rumah kakak saya di Kampung Si Jangkang, Selangor. Kakak saya telah berkahwin dan telah menetap di sana. Abang ipar saya merupakan keturunan Jawa. Semasa saya tengah berbual-bual dengan, tiba-tiba abang ipar saya menyuruh saya mengambil “gembok”. Saya agak terpinga-pinga kerana saya tidak memahami apa yang abang ipar saya maksudkan. Kemudian, abang ipar saya telah menunjukkan kepada saya, “gembok” itu sebenarnya ialah “mangga”.

Abang ipar saya juga ada memberitahu bahawa terdapat juga bahasa Jawa yang mempunyai sebutan dan maksud yang sama dengan dialek Kelantan iaitu seperti “tigo” yang bermaksud “tiga”. Kemudian saya terfikir ada sesuatu persamaan dari segi penyebutan perkataan “gembok” itu dengan dialek Kelantan, tetapi mempunyai maksud yang berlainan iaitu “kain yang kembang”. Walaupun dialek Kelantan menyebut dengan bunyi yang sama, tetapi ia berlainan makna.

Tuesday, 20 March 2012

Situasi 12

~ Orang India boleh cakap dialek Kelantan ~

Situasi ini ketika saya berada di dalam bas untuk pulang ke kolej kediaman. Kawan saya telah memperkenalkan seorang junior yang berketurunan India kepada saya. Apa yang menariknya tentang junior berketurunan India ini ialah, dia sangat fasih dalam bertutur dialek Kelantan, sebab inilah kawan saya memperkenalkan dia kepada saya. Menurut kawan saya, dia amat terkejut dengan junior India ini pada mulanya kerana  dia boleh bertutur dialek kelantan dengan baik sekali. Apa yang lebih mengejutkan lagi pelajar India ini mengambil kursus bahasa Inggeris (Tesl) yang bermakna dia boleh menggunakan bahasa Inggeris dengan baik sama ada di rumah mahu pun pelajaran.

Saya cuba bercakap dan bertanya serba sedikit tentang diri pelajar India tersebut dan ternyata memang dia sangat pandai bertutur dialek Kelantan. Saya juga turut terkejut dan mengaguminya. Hal ini kerana, kebanyakkan orang India mesti agak susah untuk bertutur dialek Kelantan dengan baik, mungkin disebabkan pelat kerana sering menggunakan bahasa Tamil atau bahasa Inggeris untuk berkomunikasi sesama ahli keluarga, tetapi pelajar India ini memberitahu saya bahawa mereka sekeluarga memang menggunakan dialek Kelantan ketika bercakap dengan adik-beradik dan mak ayah mereka.Pelajar ini berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.

Apa yang boleh saya rumuskan di sini, pengaruh dialek Kelantan terhadap penduduknya terutamanya yang bukan Melayu, sama ada India mahu pun Cina amatlah kuat. Hal ini disebabkan oleh persekitaran mereka dan jiran-jiran mereka dikelilingi oleh masyarakat Melayu yang bertutur dalam dialek Kelantan. Mereka terikut-ikut dengan cara pertuturan masyarakat di negeri Che Siti Wan Kembang ini. Kehidupan mereka perlu suatu bahasa komunikasi yang dominan dan difahami umum, jika mereka menggunakan bahasa yang berlainan, maka mereka akan tersisih daripada masyarakat dan sukar untuk berkomunikasi dengan baik. Bilangan kaum India dan Cina di Kelantan amat sedikit berbanding kaum Melayu juga merupakan faktor mereka kurang bercakap dalam bahasa mereka sendiri dan lebih selesa menggunakan dialek Kelantan.

Monday, 19 March 2012

Situasi 11

~ Budi Bahasa Budaya Kita ~

Situasi ini semasa saya dan kawan pergi ke Pekan Tanjung Malim. Kami pergi untuk membuat kunci pendua rumah sewa kawan saya yang telah rosak. Dalam perjalanan kami ke kedai yang boleh membuat pendua kunci tersebut, tiba-tiba terjadi satu kemalangan kecil. Ada seorang pak cik yang berketurunan Cina ingin mengeluarkan motornya daripada tempat meletak kenderaan. Oleh disebabkan jalan tersebut sempit dan kereta yang banyak lalu lalang, ditambah pula dengan sebuah motor yang sedia menunggu untuk mengambil giliran, pak cik tersebut menjadi kelam kabut.

Keadaan cuaca pada waktu itu pula hujan renyai-renyai. Semasa dia hendak memusingkan motornya, dia telah terlanggar dua buah basikal di situ sehingga terbalik. Kebetulan saya dan kawan saya melihat kejadian tersebut dan membantu pak cik itu. Saya dan kawan mengangkat basikal yang jatuh akibat dilanggar pak cik itu. Tetapi apa yang mengecewakan kami, pak cik itu membuat muka yang serius, langsung tidak melihat ke arah kami dan tidak mengucapkan sebarang terima kasih kepada kami kerana telah menolongnya. Bukannya kami mengharapkan ucapan penghargaan daripada pak cik tersebut, tetapi sebaliknya pak cik itu memasamkan mukanya kepada kami.Kami sendiri hairan dengan sikap dingin pak cik tersebut.

Pada pendapat saya, jika kita menerima pertolongan daripada orang lain, kita mestilah mengamalkan budi bahasa yang baik seperti mengucapkan terima kasih atau kita boleh sahaja memberi senyuman kepada mereka yang telah memberi pertolongan kepada kita. Senyuman tidak perlu menggunakan wang ringgit. Budi bahasa itu budaya kita. Amalkan senyum selalu. Senyum itu sedekah. 

Friday, 16 March 2012

Situasi 10

~ Penggunaan Bahasa Arab ~

Situasi ini terjadi semasa saya sedang berbual-bual dengan kawan lama saya menggunakan telefon bimbit. Kami sudah lama tidak berhubung antara satu sama lain setelah menamatkan pelajaran di sekolah menengah dahulu. Dia sekarang sedang menunutut di Universiti Malaya. Nama dia ialah Ayu. Ayu merupakan antara teman yang baik dan rapat dengan saya. Kami banyak berkongsi suka dan duka semasa belajar di sekolah menengah dahulu, tetapi kami terpaksa berpisah apabila masing-masing mendapat tawaran belajar di Universiti yang berlainan iaitu saya di UPSI dan dia di UM. Pada awal-awal perpisahan, kami masih berhubung, tetapi disebabkan oleh masing-masing sibuk dengan komitmen tersendiri, maka kami sudah lama tidak berhubung. Kebetulan saya ada kelapang pada hari ini, jadi saya menelefon Ayu untuk bertanya khabar. Di bawah ini, serba sedikit perbualan kami:

Saya: Assalamualaikum Ayu...
Ayu: Waalaikumussalam.. Eh Tihah, lama nya tak dengar suara awak. Rindu betul.
Saya: Ayu apa kahabar?
Ayu: Alhamdulillah, Ayu sihat. Tihah apa khabar?
Saya: Tihah pun sihat jugak.
Ayu: Tihah, bila kita boleh jumpa, saya rindu la dekat awak.
Saya: Saya pun. Apa kata kita jumpa nanti cuti pertengahan semester nanti. Awak balik kan?
Ayu: Saya balik. Okey juga tu. Nanti kita jumpa dekat kampung.
Saya: Nanti awak datang rumah saya tau. Awak mesti datang. Awak cakap rindukan saya kan?
Ayu: Insyaallah saya akan datang. Kita jumpa nanti dekat kampung ya..okey.

Begitulah serba sedikit perbualan kami. Di sini, saya ingin menunjukkan betapa banyak dan sinonimnya kita dalam komunikasi seharian dengan penggunaan bahasa asing, iaitu bahasa Arab dalam kehidupan seharian kita seperti perkataan assalamualaikum, waalaikumussalam, insyaallah dan sebagainya. pengaruh bahasa Arab amat ketara dalam penggunaan pertuturan masyarakat Melayu terutamanya yang beragama islam akan sentiasa menggunakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab ini. Ini menjadikan bahasa komunikasi kita lebih menarik dan pelbagai.

Thursday, 15 March 2012

Situasi 9

~ Bahasa Rojak ~

Situasi ini semasa saya  bersiar-siar di Kuala Lumpur pada hari minggu. Semasa sedang menunggu bas, saya terdengar perbualan seorang remaja perempuan, ketika bercakap melalui telefon. Bukan niat untuk mendengar percakapan orang lain, tetapi suara remaja perempuan tersebut amat jelas sekali di pendengaran saya. Saya cuma menggunakan peluang ini untuk mengkaji serba sedikit bahasa yang digunakan oleh remaja zaman sekarang untuk berkomunikasi.

Hai sayang..sayang kat mana nie?? Janji nak kuar dengan I?.. I miss u sangat-sangat la sayang..    
          

pada pendapat saya, mencampuradukkan bahasa adalah dilarang sama sekali dan salah daripada hukum bahasa. Tetapi, umumnya masyarakat Melayu lebih selesa dengan hal ini. Kebanyakan masyarakat sekarang cuba mencampurkan percakapan mereka dengan bahasa Inggeris kerana bagi mereka, apabila bercakap bahasa Inggeris, mereka akan dipandang lebih hebat oleh orang sekeliling dan berpendidikan tinggi. Cubalah gunakan bahasa Melayu baku. Elakkan bahasa rojak. Bukankah bahasa mencerminkan bangsa kita sendiri.

Wednesday, 14 March 2012

Situasi 8

~ Perkataan "Segan" ada 3 maksud ~


Situasi ini berlaku semasa saya sedang membuat perjumpaan kumpulan untuk berbincang mengenai tugasan kumpulan kami. Kawan saya ada mengatakan perkataan “segan” di Kedah mempunyai maksud yang berlainan daripada maksud dalam bahasa baku iaitu bermaksud “pemalas”. Perbezaan maksud ini sangat berkontra dengan maksud sebenar mengikut bahasa standard yang kita fahami umum iaitu “segan” bermaksud “malu”.

Pada pendapat saya, perbezaan ini saya kategorikan sebagai perbezaan maksud dari segi dialek. Menurut dialek Pahang, perkataan “segan” itu bermaksud “pemalas”, tetapi bagi bahasa Melayu baku atau standard ianya bermaksud “malu”.

Apa yang lebih mengejutkan lagi, perkataan “segan” ini turut mempunyai maksud yang berbeza bagi penutur di Negeri kelantan iaitu bermaksud “jijik”. Cuma, di Kelantan,cara penyebutannya agak berlainan sedikit iaitu “segey”. Saya mendapati perkataan ini sangat unik kerana mempunyai tiga maksud yang berbeza di tiga negeri yang berbeza. Betapa uniknya setiap perkataan itu sendiri, yang diguna pakai oleh penutur jati masing-masing yang membawa maksudnya yang tersendiri.

Tuesday, 13 March 2012

Situasi 7

~ Bahasa Mesej @ SMS ~

SMS adalah satu saluran melalui telefon bimbit yang membenarkan pengguna menghantar-menerima mesej. Mesej boleh boleh dihantar dalam ayat penuh dan ejaan lengkap dalam konteks komunikasi formal. Mesej SMS boleh juga dihantar menggunakan kod tertentu yang berbentuk singkatan, ringkasan, akronim, emotikon, ikon, imej, dan simbol dalam konteks tidak formal. Bahasa SMS terus berkembang dan meningkat bilangnya  dengan adanya teknologi MMS  dalam telefon bimbit pada kebanyakan  orang di Malaysia. contohnya:

ko nk g ne?       bermaksud      "kau hendak pergi mana?
ak br blk kls      bermaksud      "aku baru balik kelas"

Penggunaan bahasa mesej (SMS) sememangnya digunakan sesuka hati sahaja. Pelbagai perkataan yang digunakan dan ditulis dengan ringkasan sahaja dan kadang kala amat sukar untuk difahami kerana terlalu ringkas. Penggunaan bahasa SMS ini tidak menyalahi undang-undang tetapi  ia akan memberi kesan buruk terutama kepada para pelajar kerana akan menyebabkan mereka terbawa-bawa gaya penulisan ini di dalam peperiksaan.

Monday, 12 March 2012

Situasi 6

~ Perkataan "bahang" mempunyai makna berbeza ~

Situasi ini ketika saya sedang berbincang Projek Tahun Akhir bersama-sama dengan rakan-rakan. Kami berbincang pada jam 3 petang. Pada waktu itu cuaca sangat panas.


Kami berbincang di rumah sewa rakan saya di Bahtera Teres. Disebabkan oleh keadaan cuaca yang sangat panas, kawan saya menyatakan "keadaan dalam rumah ni bahang la" yang bermaksud "panas". Tiba-tiba ada seorang rakan saya yang berasal dari Pahang cakap "kalau tempat dia, "bahang" tu bermaksud "pukul".

Perkataan "bahang" juga mempunyai maksud yang berlainan. Walaupun ejaan dan sebutannya sama, tetapi maksudnya berlainan. Perkataan ini boleh dikategorikan sebagai dialek kerana di Pahang perkataan "bahang" itu mempunyai maksud yang berlainan daripada bahasa Melayu standard. Di Kelantan juga mempunyai maksud yang sama dengan negeri Pahang iaitu "pukul" bagi perkataan "bahang", cuma di Kelantan sebutannya agak berlainan sedikit iaitu disebut "beyhae".


Friday, 9 March 2012

Situasi 5

~ Pensyarah Marah ~



Situasi ini ketika saya berjumpa dengan seorang pensyarah untuk menanyakan tentang tugasan yang diberikan oleh pensyarah tersebut. Semasa saya dan pensyarah tengah berbincang, tiba-tiba pensyarah tersebut menerima panggilan daripada seorang pelajar yang ingin menemu ramah beliau untuk menyiapkan tugasan. Komplikasinya bermula apabila pensyarah tersebut mula marahkan pelajar itu. Saya pada mulanya agak terkejut dengan reaksi yang dipamerkan oleh pensyarah itu.

Setelah pensyarah itu mengakhiri perbualan telefon tersebut, beliau kemudiannya telah menceritakan kepada saya apa yang telah berlaku. Pelajar itu telah menimbulkan kemarahan terhadap pensyarah tersebut kerana dia memanggil pensyarah tersebut dengan gelaran sekejap Encik, sekejap Doktor, dan menanyakan soalan yang tidak relevan kepada pensyarah itu. Pensyarah tersebut telah mempunyai pangkat Professor. Pensyarah itu merasakan pelajar tersebut tidak menghormati beliau yang bersusah payah untuk mendapatkan pangkat Professor. Pelajar tersebut mahu meminta pertolongan beliau, tetapi tidak mengenali beliau dan memanggil beliau sesuka hati pelajar itu sahaja.

Panggilan sapaan bagi sesetengah individu amat dititikberatkan kerana ia menunjukkan tinggi rendah pangkat seseorang itu. Pelajar tersebut haruslah lebih berhati-hati ketika bercakap dan menggunakan panggilaan sapaan yang betul terutama ketika meminta pertolongan. Pelajar tersebut perlulah menyelidik terlebih dahulu serba sedikit latar belakang individu yang ingin ditemu ramah supaya tidak berlaku salah faham dan tanda menghormati individu tersebut.

Thursday, 8 March 2012

Situasi 4

~Dialek Kelantan vs Bahasa Melayu Standard~

Situasi ini semasa saya berada di dalam bilik kuliah kursus  Karya Agung. Pensyarah menanyakan maksud perkataan "selalu". Beliau mengatakan bahawa perkataan "selalu" bagi dialek Kelantan mempunyai maksud yang berlainan daripada maksud asal perkataan tersebut. Jika dalam bahasa Melayu standard, perkataan "selalu" bermaksud kerap kali, tetapi bagi dialek Kelantan perkataan "selalu" itu bermaksud "segera atau sekarang".

Kebanyakan pelajar dalam kelas tersebut tidak mengetahuinya dan ianya merupakan maklumat yang baru kepada mereka. Jika mereka ditakdirkan mengajar di sekolah di Kelantan, mereka tidak akan salah faham perkataan yang dimaksudkan oleh pelajar tersebut. Dialek mempunyai keunikannya yang tersendiri dan hanya difahami oleh penuturnya sahaja. Penggunaan dialek, kadang-kala mempuyai maksud yang berlaian daripada bahasa standard atau bahasa baku yang difahami umum. Di Malaysia, mempunyai banyak dialek yang pelbagai yang  mempunyai perkataan yang sama sama ejaan dan sebutan tetapi berlainan makna seperti contoh di atas. Ini menjadikan bahasa merupakan sesuatu yang unik bagi setiap penuturnya yang tersendiri.

Wednesday, 7 March 2012

Situasi 3

~ Kecha ??? ~

Situasi ini semasa saya dan kawan-kawan tengah berbual-bual tentang masakan dan bertukar resepi masakan antara satu sama lain. Satu info yang saya perolehi sepanjang perbualan kami adalah walaupun lauk yang sama tetapi teknik memasak dan bahan-bahan yang digunakan adalah berlainan bagi setiap individu itu. Semasa kami sedang berkongsi rahsia masakan masing-masing, tiba-tiba saya teringat lauk "masak lemak kecha" iaitu masakan yang menggunakan sejenis siput atau lebih dikenali dengan siput sedut.


Perkataan "kecha" itu berasal daripada dialek Kelantan. Perkataan ini menjadi isu yang menarik apabila seorang kawan saya yang turut berasal daripada Kelantan iaitu di daerah Rantau Panjang, terkejut apabila saya cakap "kecha" dijadikan lauk. Hal ini disebabkan oleh bagi kawan saya "kecha" itu bermaksud siput babi, dan tidak boleh dimakan.

Hal ini membuat saya bertambah terkejut apabila dia berkata sedemikian. Walaupun kami berasal daripada negeri yang sama negeri Kelantan, cuma berbeza daerah iaitu saya berasal dari daerah Tumpat,
manakala kawan saya dari daerah Rantau Panjang tetapi tetap ada juga perkataan yang mempunyai sebutan yang sama, tetapi berlainan makna. Saya mendapat satu rumusan iaitu walaupun kita sama negeri, tetapi tetap ada perbezaan makna bagi sesuatu istilah itu oleh penutur mengikut kawasan tertentu. Bukan sahaja setiap negeri yang berlainan mempunyai istilah makna yang berlainan, bahkan di dalam negeri itu sendiri turut mempunyai perbezaan dari segi makna mengikut daerah masing-masing.

Tuesday, 6 March 2012

Situasi 2

~Kampus Baru dan Pekerja Indonesia  ~

Situasi ini di kampus baru. Pada semester ini, kampus baru telah dibuka kepada pelajar-pelajar UPSI untuk aktiviti kuliah dan tutorial. Kuliah saya bermula pada awal pagi di kampus baru dan saya belum biasa lagi dengan keadaan di kampus baru ini. nasib baik pada hari pertama, saya dan kawan-kawan yang lain tidak sesat untuk ke bilik kuliah. Hal ini disebabkan oleh pemandu bas yang baik hati memberitahu menurunkan kami di blok yang betul untuk ke bilik kuliah kami. Kuliah pada waktu pagi menyebabkan saya dan kawan baik saya tidak sempat bersarapan. Kuliah pula, mengambil masa sehingga tengahari. Saya dan kawan baik saya telah mengambil keputusan untuk makan tengahari di kampus baru. Disebabkan oleh kami tidak biasa lagi dengan keadaan di kampus baru ini, agak sukar untuk mencari kafe yang telah disediakan. Kebetulan kami ternampak pekerja di kampus baru ini, dan bertanya kepada pekerja tersebut.



kawan: akak kat mana kafe?
pekerja: kafe??? apa tu kafe? (sambil berfikir)
saya: tempat makan. tahu tak kat mana?
pekerja: ooo...tempat makan. itu kantin ya???
saya: ye kantin..kat mana ye?
pekerja: kantin nya ada depan sana.
kawan: ooo... yeke. terima kasih.

saya dan kawan-kawan pun menuju ke arah yang dimaksudkan, tetapi malangnya kami masih sesat dan tiba-tiba pekerja tersebut memanggil kami semula.

pekerja: mbak, mbak..kantin nya di sini mbak..jalan terus.
saya dan kawan: la, yeke..hehe.. (sambil ketawa malu)
saya: terima kasih.
pekerja: ngak apa-apa mbak.

Rupa-rupanya baru kami tahu, pekerja tersebut ialah orang Indonesia. Pekerja itu tidak memahami maksud "kafe". Pekerja itu kelihatan terkulat-kulat semasa kami menanyakan "kafe" kerana dia memanggil "kantin". Penggunaan penggilan sapaan terhadap kami iaitu "mbak" juga membuat kami terkejut dan terasa janggal. Keadaan ini disebabkan oleh di Indonesia mereka menggunakan sapaan sedemikian, jadi mereka terbawa-bawa sapaan tersebut walaupun berada di Malaysia.